Nelayan asing yang ditahan dalam Op Naga Timur selepas dikesan melakukan aktiviti bom ikan di perairan Tanjung Tavajun, Pulau Gaya di Kota Kinabalu semalam. Foto Ihsan APMM
Fardy Bungga


EMPAT nelayan warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah letupan ditahan di kawasan perairan Tanjung Tavajun, Pulau Gaya di Kota Kinabalu semalam.

Dalam Op Naga Timur yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 7 malam itu, pam bot berkenaan dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan sebelum cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, usaha mereka cuba meloloskan diri gagal apabila berjaya dikejar dan ditahan pasukan Penguatkuasa APMM.

Komander APMM Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan didapati bot tidak mempunyai sebarang dokumen dan nombor pendaftaran yang sah.

Menurutnya, semua awak-awak berusia 20 hingga 30-an dalam bot berkenaan juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warga Filipina.

“Pada masa sama, kita turut menemui kira-kira 100 kilogram pelbagai jenis ikan dalam bot berkenaan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

“Nilai keseluruhan ikan yang dirampas kali ini dianggarkan berjumlah hampir RM2,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika sidang media hari ini.

Muhammad Suffian berkata, semua tangkapan dan bot kemudiannya dibawa balik ke Jeti Maritim Negeri Sabah untuk tindakan selanjutnya

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 serta Akta Imigresen 1963.

Katanya, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan risikan di kawasan perairan negara ini untuk mengekang sebarang aktiviti jenayah.

“Berdasarkan penahanan mereka itu, kami akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang yang menjual atau membekalkan bahan bom ikan terbabit.

“Pihak APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara.

“Oleh itu, APMM memohon kerjasama komuniti maritim supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aduan jenayah ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah menerusi talian 088-270165 untuk tindakan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:20 PM