Tengku Amir Shah (tengah) berkenan memukat ikan sempena program Jelajah Daerah Sabak Bernam di perairan BNO hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


RAJA Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah berkenan menaiki bot bagi merasai pengalaman memukat ikan di perairan Bagan Nakhoda Omar (BNO) di Sabak Bernam hari ini.

Baginda dijadualkan berada di daerah itu tiga hari sempena program Jelajah Daerah Sabak Bernam yang bermula hari ini.

Terdahulu, Tengku Amir Shah berkenan memulakan lawatan di syarikat Sin Hiap Huat di Jalan Parit Enam, Sekinchan dan mengikuti sesi penerangan serta lawatan semaian benih padi, pagi tadi.

Baginda bersama rombongan istana tiba di Jeti Nelayan BNO 3.40 petang sebelum mendengar taklimat khas Jabatan Perikanan mengenai aktiviti memukat ikan di kawasan berkenaan.

Baginda menarik perhatian tetamu apabila turun ke laut bersama rombongan istana dan agensi kerajaan selepas selesai taklimat.

Sembilan bot termasuk bot dinaiki baginda menyusuri perjalanan sejauh dua batu nautika dari jeti BNO.

Baginda kemudian menaikkan hasil laut menggunakan pukat hanyut dan menghabiskan masa sejam sebelum pulang semula ke jeti pada 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 8:19 PM