LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai Aysar Nasri memerlukan sumbangan dana untuk pemindahan hati.
Redzuan Muharam


“ALHAMDULILLAH, syukur dana pemindahan hati dan rawatan susulan Aysar Nasri telah mencukupi hasil daripada kebaikan rakyat Malaysia.

“Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang beri sumbangan, kongsikan hantaran dan doakan Aysar Nasri,” demikian coretan bapa bayi menghidap Biliary Atresia, Muhammad Nassar Sanusi.

Muhammad Nassar, 29, memuat naik hantaran itu sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan sejak kisah anak bongsunya, Aysar Nasri, tular di laman sosial, semalam.

Hantaran itu dibuat Muhammad Nassar bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa kempen pendanaan awam (crowdfunding) untuk anaknya dihentikan bermula hari ini.

Muhammad Nassar turut berharap orang ramai terus menyumbang kepada individu memerlukan selain mendoakan pembedahan anaknya itu berjalan lancar.

“Saya rasa bersyukur kerana dalam tempoh kurang 24 jam saja, dana diperlukan mencukupi hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.

“Bukan hanya sumbangan dalam bentuk wang ringgit, tetapi mereka (orang ramai dan warganet) turut mendoakan Aysar Nasri selain memberi kata semangat kepada saya dan isteri untuk terus cekal mengharungi dugaan ini.

“Hanya Allah SWT dapat membalasnya dan semoga anda dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Malam tadi, portal berita Harian Metro melaporkan kisah Aysar Nasri yang menghidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik sejak berusia dua bulan dan kini mendapat rawatan di Wad Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terkena jangkitan kuman buat kali ketiga.

Berikutan penyakit itu, Aysar Nasri disyorkan menjalani pembedahan pada 23 Oktober ini, tetapi berdepan kesulitan kerana perlu mencari dana sebanyak RM120,000 dalam tempoh singkat.

Menerusi laporan berkenaan, Muhammad Nassar yang sedia mendermakan hati kepada Aysar Nasri merayu kepada orang ramai supaya menghulurkan sumbangan bagi membolehkan pembedahan itu dijalankan.

Berita berkaitan

'Bantulah Aysar Nasri'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 4:40 PM