NAPSIAL menyuapkan makanan kepada Ashaari yang terlantar di rumahnya. FOTO Amran Yahya


WALAUPUN dimamah usia, namun dengan kudrat yang masih ada warga emas ini tetap setia menjaga cucunya yang kini lumpuh akibat menghidap sakit tulang belakang.

Napsiah Rasol, 86, sanggup mengorbankan sisa hidupnya menguruskan Ashaari [email protected], 31, yang dijaga sejak kecil bagi memastikan keperluan cucunya itu tidak terabai.

Wanita warga emas itu bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk memandikan, menukar lampin pakai buang cucunya, selain menyiapkan makanan serta ubat-ubatan mengikut jadual ditetapkan.

Napsiah berkata, rutin harian itu dilakukan sejak Ashaari terlantar sakit tiga bulan lalu.

Namun, katanya, masalah kesihatan dihadapi Ashaari bukan perkara baru kerana sebelum ini dia menghidap pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan kerap mendapatkan rawatan di hospital.

“Ashaari menghidap asma selain disahkan menghidap sakit jantung, tekanan darah tinggi dan gout pada 2016.

“Keadaan Ashaari bertambah teruk selepas dia disahkan menghidap sakit tulang belakang menyebabkan lumpuh dari pinggang hingga kaki sejak tiga bulan lalu.

“Kini Ashaari hanya terlantar di atas katil dan segala keperluan dirinya diuruskan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Juasseh Pekan di Kuala Pilah, hari ini.

Menurut Napsiah, dia mengharapkan duit pencen arwah suami untuk menampung keperluan harian dan kos rawatan Ashaari.

“Mujur Ashaari ada terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Ashaari berkata, dia sedih kerana terpaksa menyusahkan nenek yang sepatutnya tugas itu digalasnya sebagai cucu.

Katanya, dia tinggal bersama arwah ibu dan nenek sejak kecil, namun sejak kematian ibunya beberapa tahun lalu mereka hanya tinggal berdua.

“Keadaan saya yang lumpuh menyukarkan pergerakan terutama untuk keluar mendapatkan rawatan susulan di hospital. Saya terpaksa menyewa ambulans dengan kadar RM850 sehari untuk membawa saya ke Hospital Serdang.

“Selain itu, keperluan harian seperti lampin pakai buang, tiub saluran kencing dan sebagainya turut memerlukan kos sehingga RM2,000 sebulan,” katanya yang turut mengharapkan ada pihak sudi membantu mengurangkan bebannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:36 PM