Gambar hiasan
BERNAMA

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menolak kemasukan kira-kira 30,000 warga asing ke negara ini kerana tidak memenuhi syarat untuk masuk ke Malaysia, antaranya pelancong dan pekerja asing yang tidak dituntut oleh majikan.

Bilangan mereka yang diberi notis penolakan kemasukan itu adalah bagi tempoh Januari hingga 10 September lalu.

“Warga asing tertinggi yang tidak dibenar masuk dan diarah pulang semula ialah dari Indonesia, Bangladesh dan China walaupun mereka datang dengan pas yang sah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA),” kata Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

“Kebanyakan mereka cuba masuk sebagai pelancong dan bila ditanya tempat tinggal, mereka tidak tahu dan di mana akan tinggal, pas lawatan sosial cuma mempunyai 30 hari dan mereka mempunyai duit RM200 dalam poket.

“Mereka disyaki masuk untuk bekerja dan cuba mencari peluang bekerja di mana-mana pusat hiburan. Saya tidak nafikan ada sindiket yang bawa masuk mereka ini pelancong wanita daripada China ini,” katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah pengawasan yang ketat di pintu masuk negara itu adalah bagi memastikan tiada warga asing yang diragui dapat membolosi pintu masuk negara sekali gus mengatasi masalah pendatang tanpa izin.

Mengikut statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) tahun ini sehingga 10 September lalu, seramai 12,142 orang adalah wagra Indonesia diikuti Bangladesh (8,056), Myanmar (3,635), Filipina (3,149), Thailand (2,127), India (2,006), Pakistan (1,436), Vietnam (1,313), China (800), Nepal (765) dan lain-lain (1,215).

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya sentiasa berusaha keras untuk memastikan masalah PATI di negara ini ditangani dan pelbagai langkah dan operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan Malaysia bebas daripada masalah itu.

Sejumlah 12,448 operasi dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 10 September lalu dengan jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa ialah 146,777 orang dan daripada jumlah itu seramai 36,684 pendatang tanpa izin ditahan.

Turut ditahan dalam tempoh itu 922 orang majikan kerana menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin dan juga diperiksa ialah seramai 3,399 orang pemegang kad UNHCR, katanya.

Beliau berkata, daripada operai yang dijalankan pihaknya didapati kebanyakan warga China masuk sebagai pelancong dan diberi pas lawatan sosial selama 30 hari serta terdapat kes mereka menyalahgunakannya dengan bekerja di pusat hiburan.

“Bagi warga Afrika dan Nigeria pula, kebanyakan mereka ini adalah ‘student’ (pelajar), mula-mula di semester pertama dan kedua mereka ini belajar, (lepas itu) mula tidak pergi kelas, ponteng, apabila mereka ini fail (gagal) dalam ujian, pas pelajar mereka ini tidak boleh diperbaharui dan (mereka) tinggl lebih masa di sini dengan melakukan pelbagai kesalahan seperti love scam.

Beliau berkata, agak sukar bagi jabatan itu mengesan mereka yang tinggal lebih masa dan bagi menyelesaikan masalah itu, satu sistem baru iaitu ‘Imigration Integrated System’ sedang dibangunkan, yang boleh mengesan mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal lebih masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:32 PM