KARNIVAL rakyat MyJeram yang terbesar di Selangor
Hairulazim Mahmud


KARNIVAL MyJeram 2019 bakal dinobatkan sebagai karnival rakyat terbesar di Selangor, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Mohd Shaid Rosli.

Beliau berkata, karnival julung kali itu akan diadakan pada 27 hingga 29 September di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Puncak Alam.

Karnival itu adalah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mensasarkan seramai 150,000 pengunjung.

“Sebanyak 16 acara utama bakal dianjurkan sepanjang tiga hari karnival termasuk pertandingan Beyblade, wacana intelek, sukan memanjat tembok, bazar peniaga, bicara usahawan dan banyak lagi.

“Ia akan dirasmikan Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun,” katanya.

Mohd Shaid berkata, antara objektif karnival ialah merapatkan hubungan penduduk pelbagai agama kaum, mengukuhkan perpaduan, menyemai keharmonian sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Katanya, karnival ini adalah usaha meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dan membentuk komuniti sentiasa mahukan kemajuan dan pembangunan.

Katanya, antara jabatan kerajaan turut memeriahkan karnival ini ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan SMART Selangor.

“Pelbagai hadiah, wang tunai dan cabutan bertuah seperti motosikal menanti pengunjung. Kita mahu orang ramai termasuk, pelajar, belia, peniaga tempatan, usahawan muda, peminjam TEKUN, Hijrah dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) hadir memeriahkan karnival ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di talian 03-3396 0036.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:58 PM