X
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

KIRA-KIRA 9,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di 14 depot tahanan Imigresen di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Berdasarkan angka itu, beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM3.5 juta bagi menampung kos untuk tahanan, termasuk makanan, perubatan, utiliti dan kos penyelenggaraan bangunan.

“Tempoh mereka menetap di depot tahanan bergantung kepada tempoh pemprosesan dokumen serta hukuman penjara mereka,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pendatang tanpa izin akan dihantar ke depot tahanan selepas menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan dan sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Beliau berkata, proses dokumentasi untuk penghantaran pulang itu memakan masa sekurang-kurangnya tiga minggu dan selewat-lewatnya tiga hingga empat bulan.

“Segala proses ini membabitkan Imigresen dengan kedutaan dan mengikut prosedur operasi standard, keutamaan akan diberi kepada wanita dan kanak-kanak yang ditahan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 41,041 warga asing dari pelbagai negara telah diusir pulang oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan, dalam tempoh Januari hingga 9 Sept tahun ini.

“Selain itu, jumlah terkini warga asing yang menunggu giliran untuk dihantar pulang ialah 9,532 orang.

“Kesemua mereka yang menunggu giliran kini ditahan di 14 depot Imigresen di seluruh negara,” katanya tanpa mendedahkan pecahan mengikut negara.

Kapasiti di 14 depot di seluruh negara boleh memuatkan 13,000 tahanan pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 9:49 AM