Antara lembu yang ditemui mati akibat termakan racun tikus. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor mengesahkan kematian 20 lembu di sebuah ladang di Gunung Pulai, Kulai, Johor Bahru akibat termakan racun tikus seperti tular di media sosial sejak semalam.

Pengarahnya Dr Aida Muhid berkata, pengesahan itu dibuat dua penternak lembu kawasan itu menerusi siasatan Pegawai Veterinar Daerah (PVD) semalam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah ladang lama dan insiden itu sudah berlaku lebih dua minggu lalu.

“Berikutan itu, JPV menghantar pegawai untuk melakukan siasatan awal terhadap kematian puluhan lembu berkenaan.

“Didapati ladang itu sudah lama dan lokasinya tidak dibenarkan untuk memelihara lembu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tindakan penternak memelihara haiwan itu walaupun selepas dilarang mengundang risiko apabila lebih 20 lembu mati dipercayai akibat keracunan racun tikus.

Menurutnya, JPV akan melaksanakan siasatan di lapangan pada minggu hadapan disertai pegawai ibu pejabat dari Putrajaya.

Terdahulu tular 20 gambar yang dikongsi Persatuan Haiwan Malaysia mengenai kematian lembu dan beberapa haiwan lain akibat termakan racun tikus.


Racun tikus yang ditemui di lokasi menyebabkan kematian 20 lembu. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

Bangkai lembu ditemui bergelimpangan di sebuah ladang di Kulai.

Menerusi FB itu, persatuan berkenaan menyatakan pemilik haiwan ternakan mengabai dan melepaskan haiwan ternakannya sehingga lebih 40 ekor lembu mati bergelimpangan secara serentak.

“Selain lembu ditemui mati, beberapa haiwan liar seperti ular, burung hantu, kera, monyet dan beruk ditemui mati.

“Kejadian ini dikatakan berpunca daripada kerja meracun tikus yang dilakukan pengurusan sebuah ladang di Kulai, namun tidak sedar banyak haiwan ternakan masuk yang menceroboh mencari makanan turut termakan bahan beracun yang ditebarkan di kawasan ladang.

“Insiden pemilik tidak bertanggungjawab menternak haiwan ternakan secara sistem bebas kerap berlaku.

“Sistem ternakan bebas kini sudah tidak lagi sesuai dan satu usaha menukar kepada sistem ternakan secara berpagar dan berkandang wajar dilakukan segera,” kongsi FB itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 2:56 PM