Shaarani Ismail


LEBIH 1,000 penumpang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh terkandas sejak 9 pagi, hari ini berikutan penerbangan yang dijadualkan tidak dapat mendarat atau berlepas susulan cuaca berjerebu.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, penumpang daripada empat penerbangan terkandas membabitkan 555 penumpang yang akan mendarat di LTSAS dan 549 penumpang lagi yang akan berlepas.

Penerbangan yang terjejas termasuk dua pesawat Scoot Airlines dari Singapura, pesawat AirAsia dari Johor Bahru dan pesawat Malindo Air juga dari Singapura.

“Kelewatan bermula 9 pagi tadi selepas pesawat Scoot Airlines yang sepatutnya tiba dari Singapura terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya yang ditemui di LTSAS di Ipoh, hari ini.

Mohd Ali berkata, selain dilencongkan ke KLIA, ada juga pesawat yang terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Menurutnya, buat masa ini hanya satu penerbangan dijadualkan semula pagi esok membabitkan pesawat Scoot Airlines manakala pesawat lain sedang dalam perbincangan dengan syarikat pengendali penerbangan masing-masing.

Katanya, penerbangan membabitkan pesawat AirAsia ke Johor Bahru juga setakat ini dibatalkan dan akan dijadualkan semula.

“Kami berharap situasi semasa cuaca akan berada pada tahap baik esok supaya segala urusan membabitkan penangguhan penerbangan dapat di atasi dengan sebaiknya,” katanya.

Sehingga 4 petang tadi, satu penerbangan dijadualkan semula manakala dua penerbangan dibatalkan.

Sementara itu, penumpang yang ditemui turut meluahkan rasa kecewa atas kelewatan dan penangguhan penerbangan namun akur dengan keadaan semasa jerebu yang melanda negara ketika ini.

Penumpang, M Shamsher, 37, berkata, penerbangannya ke Johor Bahru yang dijadualkan pada 3.40 petang menggunakan pesawat AirAsia dibatalkan berikutan jerebu.

“Saya tidak pernah berdepan pengalaman sebegini sebelum ini dan sering menggunakan penerbangan untuk berulang alik antara Ipoh ke Johor Bahru kerana bekerja di sana,” katanya.

Seorang lagi penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Coco pula berkata, penerbangannya ke Singapura terpaksa dijadualkan semula pagi esok selepas dimaklumkan keadaan berjerebu.

“Saya sudah merancang untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga ke Singapura dan tak menyangka situasi ini boleh berlaku.

“Setakat ini saya dimaklumkan penerbangan dijadualkan semua esok, tetapi belum mendapat maklumat lanjut dari pihak penerbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:39 PM
PENUMPANG terkandas selepas jadual penerbangan dibatalkan ekoran jerebu yang melanda di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh. FOTO Abdullah Yusof