Galeri ‘Skybridge’ terletak di menara tinjau jambatan angkat di Kuala Terengganu. Foto NSTP
Galeri ‘Skybridge’ terletak di menara tinjau jambatan angkat di Kuala Terengganu. Foto NSTP
Norizuan Shamsuddin


GALERI ‘Skybridge’ yang terletak di menara tinjau jambatan angkat atau ‘Drawbridge’ di Kuala Terengganu akan dibuka kepada umum bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Khalizan Mahmud berkata, galeri berkenaan akan dibuka kepada umum pada setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, sempena pembukaan itu juga pihaknya menawarkan promosi harga tiket yang rendah kepada pengunjung.

“Harga tiket ditetapkan sempena pembukaan adalah serendah RM5 untuk semua warga Malaysia, manakala bagi bukan warganegara harga tiket adalah RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak bagi tempoh terhad.

“Untuk pembukaan, kita pamerkan lukisan pelukis tempatan dan kita mengalu-alukan orang ramai untuk datang melihatnya sambil menikmati keindahan pemandangan di galeri yang terletak di Skybridge (menara tinjau) ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Khalizan memaklumkan restoran yang beroperasi menara tinjau jambatan angkat berkenaan masih belum dapat beroperasi kerana dalam proses pengubahsuaian.

“Kita dalam proses melakukan pengubahsuaian untuk membolehkan restoran berkenaan beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.

Drawbridge yang juga jambatan angkat pertama di Asia Tenggara mula dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 1 Ogos lalu.

Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebelum ini, jambatan berkenaan dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun lalu sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 3:13 PM