HUJAN lebat tengah hari tadi menambah baik kualiti udara di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang. FOTO Nik Hariff Hassan
Nor Akmar Samudin


BERIKUTAN hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, tengah hari ini, beberapa kawasan mencatatkan penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Batu Muda yang mencatatkan IPU 174 pada 8 pagi tadi, merekodkan IPU 133 setakat 4 petang.

Sementara itu, IPU Petaling Jaya juga menurun kepada 130 daripada 166 dan Port Dickson daripada 182 kepada 173.

Bagaimanapun, di Sarawak, Samarahan terus mencatat kenaikan IPU, daripada 174 kepada 205 setakat 4 petang dan IPU Sarikei turut mencatatkan peningkatan 153 daripada 141.

Di Johor, Tangkak juga mencatatkan IPU tidak sihat daripada 204 pada 8 pagi tadi kepada 207.

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 27 lagi kawasan berada dalam keadaan tahap sederhana.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini, setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:34 PM