RAKAMAN CCTV menunjukkan mangsa dan bapanya dibelasah bekas suaminya yang tular di media sosial.
Nurul Hidayah Bahaudin


TIDAK puas hati dipercayai akibat konflik rumah tangga menyebabkan seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan membelasah bekas isteri dan bapa mentuanya di Jalan Utarid, Sungai Buloh.

Bagaimanapun, kejadian jam 12.15 tengah hari pada 4 September lalu, tular selepas kisah berkenaan dikongsi kenalan mangsa di Facebook, hari ini.

Status berkenaan disertakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, tangkap layar ugutan bekas suami mangsa serta gambar mangsa dan bapanya yang cedera selepas kejadian itu.

Sumber berkata, mangsa berusia 35 tahun bersama bapanya berusia 60-an dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan urusan mahkamah di Shah Alam sebelum menyedari tayar kereta dipandu pancit disyaki ditoreh.

“Mangsa memberhentikan kenderaannya di bahu jalan untuk memeriksa tayar sebelum menyedari kereta dipandu bekas suaminya berusia 34 tahun berhenti berhampiran.

“Suspek kemudian bertindak menghentak kepala mangsa dan bapanya di permukaan jalan sehingga menyebabkan pergelutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian disedari orang awam yang membantu meleraikan pergelutan.

“Lelaki terbabit kemudian beredar dari lokasi manakala mangsa dan bapanya bergegas ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Akibat kejadian itu, bapa mangsa menerima tiga jahitan di kepala manakala mangsa hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis USJ8, Subang Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh ketika tampil memberi keterangan berkaitan kes itu kira-kira jam 12 tengah hari pada 9 September lalu.

“Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan pada hari sama.

“Suspek turut mengemukakan surat rujukan perubatan memaklumkan dia disahkan mengalami tekanan perasaan,” katanya.

Katanya, polis masih menunggu laporan penuh perubatan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 11:50 PM