PETUGAS membuat persediaan operasi pembenihan awan di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, Khamis lalu. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

PROSES pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu dijadualkan esok di negeri Semenanjung oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc).

Timbalan Menterinya Isnaraissah Munirah Majilis berkata, proses itu lebih tertumpu di Selangor dan Johor yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi.

“Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari airport Subang dengan kerjasama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Operasi ini akan dimulakan dengan taklimat pada 8.30 pagi dan pembenihan awan akan dimulakan pada 11.00 pagi,” katanya ditemui selepas bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk merasmikan Program Larian Warisan 110 anjuran Jabatan Kimia Malaysia di Padang Kota Lama, Georgetown, hari ini.

Acara sempena menyambut 110 tahun penubuhan jabatan itu turut disertai Ketua Pengarah Kimia Malaysia Mohamed Zaini Abdul Rahman membabitkan 1,115 peserta dari seluruh negara.

Isnaraissah Munirah berkata, pembenihan awan yang dijalankan di Sarawak pada Khamis lalu berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri berkenaan selepas menjadi negeri yang paling terjejas susulan kebakaran terbuka di Kalimantan.

“Proses ini hanya akan dapat dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai. Mudah-mudahan esok keadaan lebih membantu supaya proses pembenihan awan lebih efektif untuk dijalankan,” katanya.

Selain punca pembakaran terbuka di Kalimantan, data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan pembakaran terbuka di Sumatera.

Katanya, Malaysia menerusi Menteri Mestecc Yeo Bee Yin sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran di negara itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Paling penting kita perlu fokus kepada sumber yang betul-betul menyebabkan jerebu. Kalau buat (pembenihan awan) di tempat kita (Malaysia), ia hanya boleh mengurangkan jerebu untuk sekejap sahaja, nanti asap datang lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 1:12 PM