GAMBAR Hiasan
Norizuan Shamsuddin


SEORANG lelaki ditangkap selepas didapati mencuri wang tabung surau di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, suspek berusia 27 tahun terbabit ditangkap pengawal keselamatan yang berada di surau berkenaan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurut sumber, perbuatan lelaki berkenaan mengait wang di dalam tabung menggunakan besi penyangkut baju dikesan penduduk kampung yang berada di surau berkenaan.

“Penduduk terbabit memaklumkan kejadian kepada pengawal keselamatan untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, pengawal keselamatan segera menangkap lelaki berkenaan dan hasil pemeriksaan menemui besi penyangkut baju serta wang RM64 di dalam genggaman tangan kiri suspek disyaki hasil curi.

“Suspek terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan hasil saringan urin turut mendapati dia positif dadah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Suspek direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:09 PM