Remaja yang ditahan dalam operasi basikal lajak di jambatan ke-3 Klang. FOTO Ihsan PDRM
Siraj Mohd Zaini


SEKUMPULAN remaja yang menjadikan Jambatan Raja Muda Nala atau Jambatan Ke-3 Klang sebagai trek basikal lajak terkedu apabila diserbu polis hari ini.

Dalam Operasi Basikal Lajak pada 4 petang itu, lima remaja lelaki berusia 13 hingga 16 tahun ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, remaja itu ditahan ketika berkumpul di tepi jalan berhampiran jambatan berkenaan.

Menurutnya, semua basikal lajak yang digunakan remaja itu dirampas dalam operasi terbabit.

“Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua penunggang basikal terbabit juga dikenakan tindakan saman mengikut Peraturan 42(1)(a) LN166/59 dan Peraturan 035(3) LN166/59,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang basikal berkenaan juga diberikan nasihat dan kaunseling sebelum diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.

Terdahulu, portal Harian Metro hari ini melaporkan aksi sekumpulan remaja yang menunggang basikal lajak di jambatan berkenaan semalam dirakam pengguna jalan raya sehingga tular di media sosial.

Aksi berani mati yang dipamerkan mereka ketika menunggang basikal membahayakan nyawa serta pengguna jalan raya lain.

Berita berkaitan

Dah lama hidup ke dik...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 10:21 PM