RAKAMAN CCTV menunjukkan mangsa dan bapanya dibelasah bekas suaminya yang tular di media sosial.
Nurul Hidayah Bahaudin


KERTAS siasatan kes lelaki membelasah bekas isteri dan bapa mentuanya di Jalan Utarid, Sungai Buloh, 4 September lalu, diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar.

“Ia (kertas siasatan) akan dirujuk kepada TPR untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan suspek bukan lagi kakitangan di hospital berkenaan.

“Merujuk kepada beberapa berita disiarkan dan tular di media sosial mengenai kes seorang lelaki yang dikaitkan sebagai kakitangan HCTM UKM, mencederakan bekas isteri dan bapa mentua, kami ingin memaklumkan bahawa lelaki itu sudah meletak jawatan pada April lalu selepas berkhidmat sejak 2017.

“Sehubungan itu, pihak HCTM UKM tiada kaitan dengan pekerja terbabit seperti yang dihebahkan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menahan suspek berusia 34 tahun pada 9 September lalu ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama selepas keterangan diambil, atas masalah kesihatan.

Suspek dikatakan memiliki rekod kesihatan berkaitan masalah kemurungan.

Sebelum itu, beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan mangsa dan bapanya mengalami kecederaan di kepala dan muka selepas diserang lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan kemelut rumah tangga mereka.

Gambar turut dikongsi bekas isterinya di Facebook bagi mendapatkan keadilan kerana mendakwa beberapa laporan sudah dibuat sebelum ini namun, tiada tindakan diambil.

Malah, wanita berusia 35 tahun itu mendakwa lelaki berkenaan masih mengganggu mangsa termasuk mengugut akan menyaman dia serta keluarganya kononnya, kerana memfitnah.

Berita berkaitan

Belasah bekas isteri dan mentua tanpa ihsan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 12:37 PM