Aizat Sharif


PASANGAN adik beradik antara enam anggota kumpulan kongsi gelap Geng 35 ditahan polis bersama 28 peket plastik berisi dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta dalam satu serbuan di Yan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di sebuah inap desa di daerah itu.

Menurutnya, pada mulanya polis menahan sebuah Proton Saga dinaiki dua lelaki yang berada di kawasan itu dan ketika memperkenalkan diri untuk pemeriksaan pada kereta itu, kedua-dua suspek ini cuba melarikan diri sebelum bergelut dengan polis tetapi berjaya menahannya.

“Pemeriksaan terhadap atas suspek ketika itu tidak menemui sebarang barang mencurigakan tetapi pemeriksaan lanjut dalam kereta berjaya menjumpai 28 bungkusan plastik kuning teh Cina yang diletakkan di kedua-dua tempat letak kaki penumpang belakang.

“Apabila bungkusan itu dibuka, terdapat serbuk dan ketulan yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 28.813 kilogram,” katanya kepada media ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar hari ini.

Menurutnya, polis kemudiannya menahan sebuah lagi kereta Proton Wira yang didapati sedang memasuki kawasan inap desa itu dan menahan dua lelaki pada 2.15 pagi.

“Hampir dua jam kemudian, intipan kami mendapati terdapat dua kereta sedang memasuki kawasan inap desa itu.

“Kita mendapati terdapat enam lelaki dalam kedua-dua kereta itu dan apabila ditahan berlaku sedikit pergelutan dengan suspek hingga menyebabkannya mengalami kecederaan di tangan, kepala dan muka,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menahan dua suspek dalam sebuah kereta Perodua Axia, manakala empat lagi rakannya berjaya melarikan diri dengan sebuah lagi kereta.

“Siasatan awal kita mendapati kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan menjadikan daerah kecil seperti Yan untuk kegiatan pengedaran dadah dan bekalan itu dipercayai dibawa dari Thailand.

“Adik beradik yang berusia 25 dan 26 tahun dalam kumpulan ini mungkin dalang utama sindiket ini.

“Namun begitu, berdasarkan rekod dan siasatan kita, bekalan syabu ini tidak dibawa menerusi pintu masuk sempadan di negeri ini seperti di Bukit Kayu Hitam atau Durian Burung tetapi kita percaya ia masuk mengikut ‘laluan tikus’ negeri lain sebelum dibawa ke Kuala Lumpur dan tiba semula ke Kedah.

“Syabu yang dirampas itu mampu memenuhi permintaan sebanyak 56,000 penagih dadah pada satu masa,” katanya.

Zainuddin berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mereka didapati positif tetapi pihaknya percaya sindiket akan memasarkan dadah ini kepada ‘tokan’ lebih kecil terutama di kawasan nelayan di sekitar Kedah.

“Kesemua suspek ini adalah penganggur berasal dari Sungai Petani dan tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 148 dan 186 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 52(3) kerana menjadi anggota pertubuhan kongsi gelap.

“Suspek direman selama seminggu hingga 21 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Geng 35 adalah kumpulan kongsi gelap yang aktif di kawasan Sungai Petani dan Kulim serta sering terbabit dalam kegiatan jenayah seperti gangsterisme, samun, dadah serta merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 3:01 PM
Zainuddin (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas dalam serbuan di Yan dalam sidang media di IPK Kedah, Alor Setar. Foto Sharul Hafiz Zam