Amirudin (tengah) bersama penerima Dana Bantuan Nafkah di Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
Amirudin (tengah) bersama penerima Dana Bantuan Nafkah di Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

KES perceraian membabitkan pasangan Islam di Selangor membimbangkan dengan jumlah pendaftaran permohonan cerai 24,063 kes bagi 2017 dan 2018.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, lebih 20 peratus daripada jumlah itu adalah pasangan muda yang baru berkahwin.

“Mahkamah Syariah Negeri Selangor merekodkan pasangan bercerai ini bukan saja terdiri daripada pasangan yang berusia malah pasangan muda yang kurang dari tempoh lima tahun berkahwin.

“Keadaan ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan negeri kerana jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh mengganggu agenda kemajuan Selangor yang sudah disusun,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah dan Pelancaran Dana Bantuan Nafkah di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata, faktor kewangan dan tiada persefahaman antara pasangan menjadi antara punca utama masalah perceraian di negeri itu.

“Atas sebab itu, menerusi Belanjawan Selangor 2019, kita manfaatkan Insentif Perkahwinan Belia dalam bentuk lebih praktikal iaitu dengan melaksanakan kursus perkahwinan yang lebih komprehensif dan merangkumi pelbagai isu termasuk pengurusan kewangan dan emosi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah meluluskan Dana Bantuan Nafkah berjumlah RM100,000 bertujuan membantu ibu tunggal dalam menyara anak-anak.

Katanya, dana itu akan diagihkan kepada mereka yang layak dan yang sudah memfailkan kes tuntutan nafkah terhadap bekas suami.

“Bagi wanita dan anak-anak yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah tetapi bapa atau suami ingkar atau cuai bayar nafkah, bantuan ini akan disalurkan jika mereka layak dan dalam kategori miskin.

“Bantuan nafkah ini akan dibayar dalam tempoh enam bulan mengikut jumlah anak iaitu seorang anak diberi RM200 sebulan, dua ke tiga anak RM300, empat ke lima anak RM400 dan enam orang anak ke atas RM500,” katanya.

Amirudin turut menyeru badan korporat, syarikat swasta dan individu supaya turut sama-sama membantu kerajaan negeri dengan memberikan sumbangan mereka bagi membela wanita dan anak yang terabai di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 9:24 PM