MAYAT mangsa ditutup di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


HASRAT seorang suami untuk menemani isterinya pulang ke kampung mereka di Thailand tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan ketika pulang dari menoreh getah, semalam.

Abdul Rahman Jusoh, 66, maut apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax di Kilometer 51, Kampung Chalok Barat, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini, pada 8 pagi.

Majikan mangsa, Nor Azlinda Mohd Nor, 40, berkata, Abdul Rahman bekerja di kebun getah miliknya sejak lebih setahun lalu.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pagi semalam (kelmarin) ketika dia datang ke rumah mengambil upah selepas selesai mengutip hasil getah.

“Arwah ada beritahu mahu balik ke Thailand hari ini untuk membawa isterinya menguruskan pasport yang perlu diperbaharui setiap tiga bulan.

“Saya ada bergurau dengannya minta dia belanja makan sebab dapat banyak upah hasil menoreh, tetapi dia senyap saja dan tak banyak cakap seperti kebiasaan,” katanya.

Azlinda berkata, sebagai kenalan, Abdul Rahman sangat rajin bekerja dan keluar rumah seawal 4 pagi untuk mencari rezeki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa menghimpit laluan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah sama yang dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:30 AM