JAMBATAN Pulau Pinang hampir tidak kelihatan akibat jerebu ketika gambar dirakam pada 10.30 pagi. FOTO Ramdzan Masiam
Zuhainy Zulkiffli


SEBANYAK 111 sekolah di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang diarahkan tutup pada 12 tengah hari berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), 10.30 pagi, hari ini.

“Sebanyak 111 sekolah di daerah Timur Laut diarahkan tutup dan kenyataan rasmi akan dibuat pada 3 petang ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, 51 sekolah di Daerah Barat Daya diarahkan penutupan pada 7.20 pagi, susulan bacaan IPU di kawasan melebihi paras sangat tidak sihat pagi ini.

Sehingga 11 pagi tadi, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan IPU di Balik Pulau (232) dan Minden (208).

Manakala di Seberang Perai pula menunjukkan bacaan 163 dan Seberang Jaya (156).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:26 AM