Gambar daripada rakaman video yang menunjukkan dia pemandu bergaduh di Plaza Tol Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki cedera selepas terbabit dalam pergaduhan sesama sendiri di Plaza Tol Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, kejadian itu berlaku pada 4.30 petang ketika seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu van dalam perjalanan dari Wangsa Maju ke Petaling Jaya, Selangor.

“Sebaik tiba di Kerinchi Link, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun memotong van terbabit sebelum menekan brek di hadapan kenderaan itu.

“Kedua-dua pemandu terbabit kemudiannya berhenti di Plaza Tol Bukit Kiara sebelum bergaduh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, kedua-dua lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis pada semalam dan hari ini.

“Pemandu van terbabit mengalami kecederaan di lutut dan muka, manakala pemandu kereta itu pula cedera di kepala, tangan dan kaki.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bertimbang rasa bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Ahmad Osman di talian 011-36508678 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields 03 22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, dua video yang menunjukkan kedua-dua lelakinya berkenaan bertumbuk di plaza tol berkenaan tular di media sosial sejak malam tadi.

Rakaman itu dipercayai dibuat oleh isteri kepada seorang daripada pemandu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 3:39 PM