TOMPOKAN sisa minyak dikesan di sepanjang jajaran Pulau Rawa, Mersing, Jumaat lalu. FOTO ihsan Jabatan Laut.


KERAJAAN negeri Johor memandang serius kejadian tumpahan minyak sepanjang 800 meter di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa dan Pulau Besar, minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, pihaknya menerima maklumat pada 15 September lalu dan berusaha mengenal pasti punca kejadian.

“Bagaimanapun, punca kejadian masih belum dikenal pasti berikutan tiada kejadian pelanggaran kapal atau penahanan kapal berdasarkan sumber daripada Jabatan Laut Malaysia.

“Dapatan awal setakat ini merumuskan kapal di perairan antarabangsa dilihat berpotensi sebagai punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu kerajaan negeri menggerakkan pelbagai agensi berkaitan untuk melakukan pemantauan dan mengaktifkan pelan tindakan segera bagi mengekang insiden itu memberi kesan kepada perairan Mersing.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memaklumkan insiden berkenaan kepada Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mempergiat pemantauan dan rondaan, manakala Pejabat Daerah Mersing mengaktifkan Pelan Pembersihan Pantai di kawasan terjejas.

“Pemantauan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor, namun tiada sebarang penemuan sisa minyak di perairan itu mungkin disebabkan ombak besar, angin kuat dan berjerebu.

“Bagi mengawal dan mencegah, kerajaan negeri meminta setiap agensi berkaitan melakukan latihan operasi pembersihan perairan secara bersepadu berdasarkan Pelan Pembersihan Pantai diselaraskan Pejabat Daerah Mersing.

“Langkah itu satu keperluan bagi memastikan perairan Mersing yang juga aset pelancongan negeri ini, kekal terjamin dan bebas daripada pencemaran, sekali gus menerima kunjungan pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:03 PM