Ismail (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM447,340. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 13 individu termasuk nenek ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan bermula Ahad hingga semalam di Pasir Gudang serta Bandar Seri Alam, Johor Bahru selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

Semua individu terdiri tujuh lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun itu ditahan selepas serbuan polis menemui lebih 1.25 kilogram (kg) ganja, 6.87 kg syabu dan 6.98 gram ketamin dianggarkan bernilai RM447,340.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam Ops Tapis dan Ops Pemutihan yang dilancarkan Ahad lalu, pihaknya melakukan serbuan pertama di sebuah rumah dekat Pasir Gudang pada 12.30 tengah hari.

“Ketika pasukan serbuan tiba, rumah berkenaan didapati tidak berkunci dan polis menyerbu masuk rumah terbabit sebelum melihat terdapat seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai satu beg kain mengandungi lebih 1.03 kg ganja.

“Kita kemudian menahan lelaki berusia 36 tahun yang menumpang di rumah itu, dua wanita yang juga anak-beranak berusia 21 dan 44 tahun manakala dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun yang juga cucu wanita 44 tahun dipulangkan kepada keluarga mereka.

“Tiga individu itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati negatif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hari ini.

Susulan serbuan pertama itu, Ismail berkata, polis membuat serbuan di tempat letak kereta sebuah apartmen di Bandar Seri Alam pada 10 malam hari sama dan menahan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun yang ditemui dalam keadaan mencurigakan.

“Dengan dipandu arah oleh dua suspek ini, kita membuat serbuan di sebuah unit apartmen dan menjumpai kotak kertas A4 mengandungi 6.87 kg syabu yang diletakkan di bahagian lantai dapur.

“Selain dadah itu, kami merampas Perodua Myvi dan dua motosikal dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif ganja dan ketamin,” katanya.

Hasil soal siasat ke atas semua suspek katanya, polis menyerbu sebuah unit apartmen di blok sama pada 2.35 petang semalam.

Ismail berkata, dalam serbuan itu, empat lelaki dan empat wanita termasuk dua wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 27 tahun ditahan.

Katanya, pemeriksaan di unit kediaman itu, polis menjumpai 218 gram ganja dan 6.98 gram ketamin dalam dua bilik berasingan.

“Tiga daripada empat lelaki itu didapati mempunyai rekod lampau kes dadah dan positif ketamin manakala dua wanita warga asing positif ketamin dan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau kes dadah.

“Kita turut merampas dua motosikal, dua kereta serta pelbagai barangan kemas,” katanya.

Pada masa sama, Ismail berkata, pihaknya masih dalam siasatan mengesan siapakah dalang utama sindiket pengedaran dadah serta mengenal pasti sumber dadah itu.

“Syabu yang dirampas dipercayai boleh digunakan 32,000 orang manakala ganja dirampas untuk kegunaan 600 orang dan ketamin pula dipercayai hanya untuk kegunaan tiga daripada suspek berkenaan,” katanya.

Menurutnya, 13 suspek itu direman antara lima hingga enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 1:28 AM