IPU jam 7 pagi. FOTO APIMS
BERNAMA

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan tempat di Semenanjung, berkurangan pagi ini termasuk di Johan Setia, Klang yang berada pada paras tidak sihat (188) setakat 7 pagi ini berbanding sangat tidak sihat (231), tengah malam tadi.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Kuching dan Samarahan di Sarawak masing-masing meningkat daripada 243 kepada 271 dan 213 kepada 229 bagi tempoh yang sama iaitu kekal dalam kategori sangat tidak sihat.

Sementara itu, seramai 1.73 juta pelajar bercuti hari ini dan esok kerana sesi persekolahan di 2,459 sekolah di enam negeri dan dua Wilayah Persekutuan dibatalkan berikutan bacaan IPU melepasi 200 di kawasan terbabit.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia malam tadi, enam negeri yang terbabit itu adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak sementara Wilayah Persekutuan yang terbabit adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan pagi ini berkata sebanyak 890 sekolah di 17 daerah ditutup pada pagi ini, berbanding 373 sekolah seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan, malam tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:16 AM