SUSPEK kes samun bersenjata api ditahan polis. FOTO Kandau Sidi


KELINCAHAN ‘Anjing Gemuk’ (Pau Kaw) menyembunyikan diri dikesan polis kerana terbabit melakukan samun bersenjata api berakhir apabila ditahan di Miri, hari ini.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan di kediaman di Pujut Corner pada 5.15 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Miri.

Turut ditahan di kediaman yang sama ialah wanita berusia 22 tahun, selain pelbagai rampasan pelbagai dadah disyaki syabu dan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dengan tertangkapnya suspek polis yakin dapat menyelesaikan kes samun bersenjata api dan kes menembak anggota polis bergerak baru-baru ini.

“Dua orang lagi suspek yang terbabit dalam kes yang sama sudah ditangkap sebelum ini. Mereka sudah pun dituduh dan ditahan reman penjara sementara menunggu perbicaraan,” katanya di Miri, hari ini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 6, Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:13 PM