Laporan mengenai kemunculan harimau kumbang di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah di Dungun
Norizuan Shamsuddin


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sudah memasang perangkap bagi menangkap harimau kumbang yang dikesan berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah di Dungun.

Timbalan Pengarah PERHILITAN Terengganu Kamsul Alias berkata, operasi menangkap harimau kumbang terbabit dilakukan susulan aduan penduduk yang mendakwa haiwan berkenaan berkeliaran di kawasan berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Setakat (hari) ini, harimau kumbang terbabit masih belum dapat ditangkap dan usaha menangkap haiwan berkenaan masih giat dilakukan.

“Susulan itu, kita memasang beberapa perangkap di sekitar lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat harimau itu berkeliaran.

“Kita juga sudah mengarahkan sepasukan anggota untuk melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga di samping untuk melindungi penduduk kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamsul berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk terutamanya di sekitar lokasi harimau itu ditemui supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami juga berharap orang ramai terutamanya penduduk kawasan terbabit dapat menyalurkan maklumat dengan kadar segera sekiranya melihat harimau berkenaan dalam usaha membantu kami dalam usaha menangkap haiwan terbabit,” katanya.

Semalam, media melaporkan kebimbangan penduduk di taman perumahan itu kerana sering melihat harimau kumbang di sekitar rumah mereka sejak dua minggu lalu.

Pada 19 Julai lalu, seekor harimau belang yang dianggarkan seberat 130 kilogram berjaya ditangkap selepas ditembak menggunakan ubat pelali di Kampung Besul Lama dekat Bukit Besi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Taman Harmoni.

Berita berkaitan:

  • Harimau kumbang pula muncul
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:36 PM