PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menggunakan simbol tanjak, sekali gus memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk bertanding pilihan raya akan datang.

Presiden Penaja PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, parti itu secara rasminya sudah boleh menyertai pilihan raya selepas pihaknya menerima kelulusan itu dua hari lalu.

Menurutnya, penggunaan simbol tanjak itu memandangkan ia satu simbol pakaian orang Melayu yang membawa erti bukan saja budaya Melayu tetapi sifat kepahlawanan Melayu.

“Ertinya besok kalau ada pilihan raya kecil, PUTRA boleh bertanding. Dari segi semangat tu ada persediaannya, tapi kalau nak menyertai pilihan raya kita kena tengok dalam pelbagai faktor, kerana pilihan raya memerlukan jentera,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

PUTRA diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), 8 Mei lalu.

Mengulas lanjut persediaan parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya, Ibrahim berkata, pilihan raya pada masa depan dilihat lebih ringan berbanding sebelum ini.

“Sudah banyak perubahan dibuat SPR seperti tempat pengundi tidak ada pondok panas, tidak ada perarakan... kita tidak bimbang lagi dari segi penipuan bilang undi.

“Kita sekarang melalui dunia Internet iaitu media sosial. Ertinya dulu kalau pilihan raya kena banyak ceramah, kena banyak itu ini, ada jawatankuasa kenderaan, jadi semua ini tak perlu lagi. Banyak mengurangkan kos pilihan raya akan datang.

“Yang perlunya duit deposit pilihan raya, deposit dengan bandar raya dan majlis daerah atau perbandaran dan poster, itu saja. Ini sangat baik. Ini membuatkan PUTRA bersemangat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pelancaran rasmi parti itu di Padang Kampung Pindah, Kampung Baru pada 28 September ini.

Menurutnya, pada majlis itu akan diadakan perarakan masuk ke pentasdiiringi tujuh wasiat Raja-raja Melayu serta ucapan bagi memenuhi acara pelancaran.

“Kemuncak pelancaran ialah pemasyhuran sumpah keramat 10 tuntutan Melayu pribumi. Ini adalah tonggak perjuangan PUTRA dalam memenuhi agenda Melayu Bumiputra, Islam dan negara,” katanya.

Beliau berkata, ROS juga sudah mengeluarkan surat kelulusan menubuh bahagian kepada parti itu iaitu sehingga kini membabitkan 112 bahagian.

“Dengan kemajuan penubuhan bahagian, amat wajar dan bolehlah kita mengadakan pelancaran penubuhan PUTRA ini secara simboliknya sebagai tanda rasmi parti sudah berada di persada politik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:44 PM
IBRAHIM (kiri) bersama Bendahari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Hamzah Zainuddin selepas sidang media Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA). FOTO Rohanis Shukri