ANGGOTA bomba mengambil masa dua jam untuk menurunkan mayat pengendali kren pada ketinggian tingkat 12 bangunan di Danga Twin Resident, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan bomba.


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengambil masa hampir dua jam untuk menurunkan mayat pengendali kren di tingkat 12 dalam kejadian di Danga Twin Resident, Johor Bahru, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.55 pagi sebelum sepasukan lapan anggota membabitkan satu jentera dan kenderaan EMRS dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila tiba pasukan bomba diminta menurunkan pengendali kren dikenali sebagai Azman Arsat, 38, yang dikatakan tidak sedarkan diri dalam kren yang berada pada ketinggian tingkat 12 bangunan.

“Seorang pegawai bersama tiga anggota membawa peralatan menyelamat memanjat tangga pada kren itu manakala peralatan lain dibawa naik menggunakan pengangkut barang sehingga tingkat 11.

“Bagaimanapun, disebabkan tubuh mangsa agak besar dan kawasan kabin kren kecil serta tempat kerja sempit, kami terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkannya.

“Sebaik tubuh mangsa dikeluarkan, kami mengikat mangsa pada pengusung sebelum dibawa turun menggunakan pengangkut barang,” katanya.

Menurutnya, apabila tiba di tingkat bawah, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi untuk memberikan bantuan kecemasan.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat ditamatkan pada 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:02 PM