Nor Asnah Asmo,36, menunjukkan tapak kimoterapi yang dipasang pada bahagian dada anaknya, Muhammad Muazzudin Mohd Hayat,3, yang mengidap kanser neuroblastoma tahap empat di rumah mereka di Kampung Telok Nibong, Jitra, di sini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


USIANYA baru tiga tahun, namun kesakitan yang ditanggung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila disahkan mengidap kanser neuroblastoma (kanser berkaitan saraf) tahap empat.

Penyakit itu menyebabkan Muhammad Muazzudin Mohd Hayat, sukar untuk membuang air kecil dan besar serta sering menangis akibat kesakitan yang ditanggung.

Ibunya, Nor Asnah Asmo, 36, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu tidak lagi mampu berjalan biarpun sudah menjalani rawatan termasuk menjalani lapan kali sesi kimoterapi.

“Sebelum ini, Muaz kanak-kanak yang ceria dan aktif, namun segalanya berubah pada April lalu apabila dia sering demam.

“Saya membawanya ke Hospital Jitra dan disahkan mengidap anemia, selepas itu Muaz jatuh dalam bilik air dan menyebabkan dia lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Nibong, Jitra.

Suri rumah ini berkata, pada Mei lalu, doktor mengesahkan dia mengidap kanser berkenaan selepas melakukan imbasan CT, ultrasound dan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati terdapat ketumbuhan antara buah pinggang dan limpa yang menyebabkan ia menyerang saraf tunjang dan saliran darah utama dalam perut.

Katanya, ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak boleh dibuang melalui pembedahan kecuali menjalani kimoterapi terlebih dahulu.

“Doktor memberi harapan 20 peratus untuknya kembali sembuh, tapi saya tetap mahu teruskan kimoterapi sehinggalah kami terpaksa berhenti daripada melakukan kimoterapi LVD kerana doktor khuatir berlaku pendarahan kerana kandungan darah rendah.

“Sekarang saya berserah kepada Allah SWT, Muaz hanya bergantung kepada ubat-ubatan selain dia perlu minum susu khas yang berharga RM78 satu tin dan bertahan tidak sampai seminggu,” katanya.

Katanya, dia dan suami, Mohd Hayat Mohd Abdullah, 36, juga terpaksa berulang alik membawa Muaz lebih empat kali sebulan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan kos yang amat tinggi.

“Suami terpaksa berkorban mengambil cuti tanpa gaji sebagai pemandu bas di Kuala Lumpur dan kini kami terputus sumber pendapatan.

“Hanya ihsan saudara mara sahajalah kami minta belas ihsan untuk teruskan hidup,” katanya.

Nor Asnah berkata, dia perlu menghantar tiga orang anaknya ke sekolah, namun dia juga perlu berada di samping Muaz.

Sementara itu, nasib menimpa Muaz mendapat perhatian Pengerusi Sukarelawan Kanser Kedah, Zuraini Kamal yang menziarahi kanak-kanak itu di rumahnya selain turut menyerahkan bantuan makanan keperluan, lampin pakai buang, susu dan wang tunai.

Bagi mereka yang ingin membantu Muhammad Muazzudin, boleh menghubungi Mohd Hayat di nombor 017-3089673 atau menerusi akaun Maybank (164061742144) atas nama Nor Asnah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 12:46 PM