GAMBAR hiasan.
BERNAMA

SEORANG penuntut Malaysia meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada tonsil di Medan, Sumatera.

Nurul Arifah Ahmad Ali, 20, pelajar Fakulti Kedoktoran, Universiti Sumatera Utara, disahkan meninggal dunia 2.30 pagi tadi di Rumah Sakit Umum Pusat (Hospital) H Adam Malik, Medan.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital itu semalam, dan disahkan meninggal akibat “Diphtheria Tonsilitis.”

“Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) di Medan sedang menguruskan hal berkaitan dokumentasi.

“Keluarga Allahyarham juga kini berada di Medan dan pihak konsulat Malaysia di Medan sedang menguruskan penghantaran jenazah ke Malaysia,” katanya kepada BERNAMA pada program lawatan Delegasi Kedutaan Malaysia yang sedang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 di Semarang-Solo-Yogyakarta.

Ditanya sama ada kejadian itu berkaitan jerebu teruk di Sumatera, Mior Harris berkata berdasarkan laporan pihak berkuasa Indonesia, kualiti udara di kota Medan masih baik.

Menurut media Indonesia, kota Medan dilaporkan masih bebas daripada jerebu apabila ramai penduduk di provinsi Riau, Pekanbaru dan Jambi yang ketika ini teruk dilanda jerebu, berpindah atau bercuti sementara ke Kota Medan.

“Ketika ini, hanya kualiti udara di provinsi Pekanbaru dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat. Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru sudah diarahkan bercuti sejak 13 September lepas. Terdapat seramai 214 pelajar Malaysia berada di universiti tersebut,” katanya.

Beliau berkata Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia pula masih beroperasi seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 2:34 PM