KERAJAAN tidak boleh membeli harga tanah yang mahal daripada pemilik dan pewaris Kampung Baru bagi memastikan projek pembangunan yang akan dibuat di perkampungan Melayu itu berjalan lancar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, sekiranya ia berlaku, hartanah yang akan dibangunkan di situ terpaksa dijual dengan harga tinggi.

Menurutnya, semua rumah dan pejabat yang akan dibina di situ akan kekal menjadi milik orang Melayu.

“Jadi apabila kita ambil kira itu, maka kita beli dengan harga yang mengambil kira syarat pemilikan. Kita beli adalah hartanah orang Melayu supaya kita bangunkan dan jual kepada orang Melayu.

“Saya mengharapkan agar semua pemilik dan pewaris mengambil kira perkara ini. Kita nak beli, bangunkan dan selepas itu jual kepada masyarakat Melayu juga.

“Mereka (pemilik dan pewaris) kena ingat, mereka juga bertanggungjawab untuk membantu ke arah mencambahkan hartanah Melayu di kawasan Kuala Lumpur ini,” katanya dalam sidang media Majlis Town Hall Pembangunan Kampung Baru di Dewan Perdana Felda, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Terdahulu, Khalid berkata, kerajaan menawarkan harga RM850 setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula.

Beliau berkata, hanya 154 ekar (62.32 hektar) daripada keseluruhan jumlah 302 ekar (122.215 hektar) tanah di Kampung Baru, akan dibangunkan semula dengan membabitkan 837 lot tanah.

Sebelum itu, dalam sesi dialog yang diadakan bersama pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru, rata-rata mereka kurang bersetuju dengan harga tawaran yang diberikan oleh kerajaan itu.

Bagaimanapun, Khalid berkata, beliau akan mengambil kira cadangan atau permintaan oleh pemilik dan pewaris yang mahukan tanah mereka itu dijual dengan harga yang lebih tinggi.

“Mereka kebanyakan setuju mahu menjual tanah namun tidak berpuas hati dengan harga yang ditawarkan. Oleh itu, saya akan bawa perkara ini kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) dalam mesyuarat Kabinet nanti.

“Namun, sekiranya ada penduduk yang tidak bersetuju juga, kami akan mencari jalan menempatkan mereka di tanah lain yang ada di situ juga.

“Kita beri jaminan yang tidak akan ambil tanah itu melalui undang-undang dalam memiliki tanah itu,” katanya.

Sementara itu, mengenai harga tawaran RM850 yang diberikan kepada semua pemilik dan pewaris tanah itu adalah berdasarkan harga pasaran semasa oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Kita berharap perkara ini akan selesai selewat-lewatnya pada hujung tahun ini atau Februari depan. Pada September depan, sekiranya tiada apa-apa kita akan teruskan dengan proses surat perjanjian jual beli (S&P),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:03 PM
KHALID menyampaikan ucapan pada Majlis Town Hall di Dewan Perdana Felda. FOTO Mohd Yusni Ariffin