GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


HUKUM penggunaan wang kertas di negara ini masih dikira harus dan suci hingga terdapat fatwa baharu yang mengatakan haram atau najis.

Pensyarah Fiqh Makanan dan Kepenggunaan Semasa Pusat Kajian Fiqh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pihak yang mendakwa wang kertas di negara ini mengandungi lemak khinzir perlulah mengemukakan bukti secara tepat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusannya diserahkan kepada Jabatan Mufti untuk menentukan hukumnya.

“Jika pihak pendakwa membuktikan wujudnya DNA khinzir dalam wang kertas menerusi kaedah kajian ujian makmal yang disahkan kerajaan Malaysia dan dikenal pasti wujud jujukan kod babi, maka tidak berlaku Istihalah (perubahan).

“Ia dikira sebagai Istihalah Naqisah iaitu perubahan yang tidak sempurna kerana DNA babi masih boleh dikenal pasti.

“Sekiranya ia (dakwaan) benar-benar wujud, maka penentuan hukum perlu dibuat oleh mufti sama ada hendak meletakkan hukumnya harus disebabkan Umum Balwa (perkara yang tidak dapat dielakkan atau Alhajah (keperluan mendesak dan tiada pilihan lain) yang tidak dapat dielakkan buat masa ini dan perlu mencari penyelesaian lain pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang pensyarah universiti awam dalam sebuah portal yang menerima maklumat daripada pemain industri tentang dakwaan penggunaan lemak khinzir dalam proses pembuatan wang kertas di negara ini.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut meminta mereka yang mendakwa wang kertas di negara ini mengandungi lemak khinzir mendapatkan pengesahan dan laporan makmal sebelum mengeluarkan sebarang dakwaan.

Mengulas lanjut isu itu, Mohd Izhar berkata, orang ramai jangan cepat melatah dengan setiap isu semasa yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini sebelum mufti menentukan hukumnya.

“Perkara ini pastinya tidak berlaku lagi jadi gunalah wang Ringgit Malaysia tanpa was-was.

“Nasihat saya kepada umat Islam jangan kelam-kabut dalam isu ini, tetapi serahkannya kepada mufti untuk menentukan hukumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 2:06 PM