KAMPUNG Baru yang akan dinaik taraf. FOTO Arkib NSTP.


PERBINCANGAN dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dilakukan segera bagi tawaran harga yang lebih tinggi untuk pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, sebelum itu pihaknya akan mengumpul maklumat dan dapatkan pandangan mengenai perkara berkenaan dalam masa terdekat.

“Namun, kalau naik tak banyak berikutan kita (kerajaan) terikat dengan penilaian yang dibuat. Kalau naik mungkin dua atau tiga peratus. Mungkin juga lima peratus.

“Saya akan berbincang dengan Tun (Dr Mahathir) terlebih dahulu. Kita tengok macam mana. Kalau Tun kata ‘ok’ bagi kenaikan pada dua atau lima peratus. Jadi okay-lah.

“Namun, jika tanpa kelulusan itu, saya terikat dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wangsamas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.


KHALID (tengah) beramah mesra bersama pemilik Residensi Wangsamas selepas penyerahan kunci, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

Khalid berkata, pihaknya juga akan menyerahkan surat laporan penilaian JPPH kepada pemilik dan pewaris tanah seperti diminta penduduk dalam masa terdekat

.

“Nanti mereka boleh lihat sendiri penilaian itu sudah mengambil kira kedudukan Kampung Baru walaupun berhampiran KLCC.

“Oleh kerana ada sekatannya dan berdasarkan sejarah penjualan di kawasan itu, harga yang ditawarkan (RM850 kaki persegi) adalah harga yang paling tepat bagi tanah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid meminta pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru mengambil kira matlamat asal pembangunan yang bertujuan menempatkan masyarakat Melayu di bandar.

Katanya, mereka masih untung besar apabila tanah dibeli pada harga RM850 kaki persegi apatah lagi dalam satu lot mempunyai 8,000 kaki persegi.

Mengulas dakwaan penduduk mengenai nilai RM1,300 kaki persegi yang dibayar ketika membina Transit Aliran Massa (MRT) di situ, Khalid berkata, ia berikutan tanah terbabit sudah terkeluar daripada syarat Bumiputera dan juga Melayu.

“Status tanah itu iaitu syarat milik Bumiputera atau Melayu sudah tidak diguna pakai. Pihak MRT sudah buat kos analisis dan mereka mampu untuk tawarkan harga sedemikian kerana bebas daripada sekatan-sekatan seperti mana pembinaan rumah dan juga pejabat,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan nilai RM850 kaki persegi itu rendah, Khalid meminta pemilik dan pewaris tanah menilai sendiri tawaran yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) pada 2017 yang didakwa RM300 kaki persegi sahaja.

Berita berkaitan

Empat tawaran untuk pemilik, pewaris tanah Kampung Baru

Bukan nak keluarkan Melayu - PM

'Kita nak beli, bangunkan untuk orang Melayu' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 3:58 PM