SASWIN (kiri) mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan.
Izlaily Nurul Ain Hussein


BEKAS setiausaha sulit kepada Ahli Parlimen Tebrau dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tujuh pertuduhan menipu urusan pembelian Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dan emas serta pemberian baucar kembali ke sekolah membabitkan nilai RM39,450.

Tertuduh, S Saswin Nair, 27, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Majistret Haffiza Jemali.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Saswin didakwa memperdayakan tiga lelaki dengan menawarkan pembelian RMBJ di kawasan Taman Daya hingga masing-masing menyerahkan wang RM9,150, RM7,000 dan RM8,000 sebagai deposit pembelian rumah berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Nusa Jaya, Iskandar Puteri; Bandar Seri Alam dan Taman Setia Tropika, antara 22 November hingga 25 Disember tahun lalu.

Sementara itu bagi pertuduhan kelima pula, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki dalam pembelian barangan kemas hingga mendorong mangsa menyerahkan RM15,000 kepada tertuduh sedangkan tertuduh tidak menyerahkan barangan kemas seperti dijanjikan di sebuah kedai emas di Jalan Wong Ah Fook di sini, pada 27 Julai lalu.

Bagi kelima-lima pertuduhan itu, Saswin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya dua lelaki hingga mangsa percaya bahawa Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong akan menyerahkan baucar kembali ke sekolah masing-masing bernilai RM150 yang mana baucar terbabit adalah palsu, sekali gus penipuan itu menjatuhkan imej Choong.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau, pada penghujung Disember tahun lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew dan Adilah Nur Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:00 AM