GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Shahrinnahar Latib

JURUJUAL dari Indera Mahkota, Kuantan kerugian RM31,230 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Lebih menyedihkan, wang berkenaan hendak digunakan sebagai modal untuk menjalankan perniagaan telefon bimbit namun lesap sekelip mata.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku 16 September lalu apabila mangsa berusia 23 tahun tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook.

“Mangsa memberikan butiran peribadi pada ruangan disediakan dengan jumlah yang mahu dipinjam RM5,000 untuk kegunaan perniagaan telefon bimbit.

“Pada hari sama mangsa menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada lelaki kononnya wakil syarikat pinjaman dari Balik Pulau, Pulau Pinang menyatakan pinjamannya diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, namun mangsa perlu membuat bayaran terlebih dulu bagi mendapatkan wang pinjaman berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat bayaran RM31,230 untuk wang proses pinjaman iaitu caj cukai, surat perjanjian, surat peguam dan caj perkhidmatan

“Mangsa membuat bayaran secara berperingkat sebanyak 16 kali ke dalam tiga akaun berbeza,” katanya.

Katanya, namun selepas itu mangsa tidak mahu meneruskan urusan permohonan pinjaman berkenaan selepas mengesyaki berlaku penipuan.

“Mangsa meminta suspek mengembalikan semua wang yang diberikan itu namun lelaki berkenaan enggan memulangkannya. “Dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:01 PM