Empat remaja ditahan bagi membantu siasatan kes kematian lelaki semalam. FOTO Ihsan PDRM


EMPAT remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan lelaki berusia 27 tahun di Serian semalam.

Penahanan mereka yang berusia 16 hingga 19 tahun 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang itu adalah selepas hampir 12 jam mangsa ditemui mati.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam di tengah jalan berhampiran Kampung Resak dan Kampung Diang, Jalan Mentung Merau sebelum disahkan meninggal dunia 4 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati mangsa hadir bersama keempat-empat suspek ke satu majlis keramaian di kampung berhampiran.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat mabuk dan dendam lama.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui serpihan kaca dan rantai mesin gergaji,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:29 PM