Keadaan jerebu di Melaka meningkat kembali hari ini. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


BACAAN indeks pencemaran udara (IPU) di semua tiga lokasi di Melaka terus meningkat sekali gus menyaksikan kualiti udara merosot sejak 12 tengah hari semalam hingga 11 pagi ini.

Menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), semua tiga stesen bacaan IPU di Bandaraya Melaka, Bukit Rambai dan Alor Gajah menunjukkan peningkatan bacaan antara sederhana iaitu 95 hingga 143 sebagai tidak sihat.

Di Bandaraya Melaka, bacaan IPU 95 pada 12 tengah hari semalam meningkat sehingga melepasi kualiti tidak sihat sejak 6 petang semalam (101) hingga terkini menjadi 135 setakat 11 pagi tadi.

Bagi tempoh sama, bacaan IPU di Bukit Rambai pula bermula pada 98 meningkat sehingga melepasi kualiti tidak sihat bermula 2 petang semalam (102) menjadi 143.

Di Alor Gajah, bacaan kualiti udara tidak sihat direkodkan bermula pada 107 hingga 138.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:39 PM