BANDAR Perda di Bukit Mertajam dilengkapi sistem projek Bandar Pintar Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Hilmie Hussin


BANDAR pintar di negara ini tidak dapat dibangunkan secara menyeluruh berikutan ada pemain industri bergerak bersendirian, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, konsep bandar pintar yang wujud sejak 30 tahun lalu sepatutnya upaya bertindak pantas menangani isu dan cabaran, namun pembangunannya masih belum berjaya disebabkan sikap terbabit.

“Justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyediakan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia.

“Rangka kerja komprehensif ini merangkumi semua tiga peringkat kerajaan dan sektor swasta bagi menyelaras pembangunan bandar pintar di Malaysia,” katanya menerusi rakaman video ucapan sempena pembukaan Persidangan dan Pameran Bandar 4.0 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hadir menyempurnakan persidangan itu.


ZURAIDA (dua dari kiri) melawat pameran pada upacara pembukaan Persidangan dan Pameran Bandar 4.0, hari ini. FOTO Salhani Ibrahim.

Dr Mahathir berkata, bandar pintar akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-12, selain yakin inisiatif bandar pintar akan turut menyelesaikan masalah pengangkutan awam yang jadi isu rakyat ketika ini.

Selain itu katanya, penggunaan bandar digital untuk membangunkan sistem mobiliti berdaya fungsi, berdaya tahan dan cekap, dalam masa sama memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Sehingga kini, Selangor dan Pulau Pinang menjadi dua negeri yang komited dalam pelaksanaan bandar pintar manakala, Kota Kinabalu (Sabah), Kuching (Sarawak), Kuala Lumpur, Iskandar Johor dan Kulim (Kedah) menjadi bandar-bandar yang sedang membangunkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:53 PM