Harga set asam pedas diresit kedai makan sebuah pasar raya di Ayer Keroh, Melaka di lebih mahal berbanding yang dipamerkan pada senarai harga. Foto Ihsan Pembaca
Rizanizam Abdul Hamid


PEMILIK lot kedai makan di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, Melaka bakal dikenakan tindakan udang-undang selepas didapati mengenakan harga makanan berlainan dengan harga yang dipamerkan di menu makanan premis itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, tindakan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas menerima aduan lengkap daripada orang awam petang semalam.

Menurutnya, premis yang terletak di tingkat bawah pasar raya berkenaan diperiksa kira-kira 11 pagi tadi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP.

“Hasil siasatan mendapati harga yang perlu dibayar pengguna adalah berlainan daripada apa yang tertera di buku menu makanan premis berkenaan.

“Harga ditulis bagi set asam pedas adalah lebih mahal dengan perbezaan RM1.55 daripada harga tertera di buku menu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan itu dibuat susulan aduan dibuat orang awam menerusi WhatsApp berhubung caj yang dikenakan di premis itu.

Muhamad Aizudin berkata, kes berkenaan dibuka mengikut Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“KPDNHEP amat mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang isu kepenggunaan melalui 1 800 886 800 ataupun melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 23,427 premis perniagaan sudah diperiksa KPDNHEP bermula Januari hingga hari ini.

“Hasilnya, sebanyak 91 kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala enam kes mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Tindakan dikenakan membabitkan kompaun antara RM100 hingga RM3,000 bagi setiap kes atau kesalahan,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan termasuklah seperti tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan atau perkhidmatan, harga mengelirukan dan gagal menyelenggara rekod perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:33 PM