PAUL (kanan) ketika menghadiri sebutan semula kes rogol pembantu rumah warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO ABDULLAH YUSOF
Muhammad Apendy Issahak


PEGUAM pemerhati dilantik keluarga pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong, memaklumkan Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, mangsa mungkin dijadikan alat permainan politik pihak tertentu.

Pada sebutan semula kes dakwaan rogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu pagi ini, Peguam Gabriel Susayan mencelah dan memberitahu mahkamah pihaknya dimaklumkan keluarga mangsa mengenai kemungkinan itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Gabriel menjelaskan pihaknya membangkitkan isu berkenaan susulan maklumat diterima daripada ibu mangsa yang bertemunya, Jumaat lalu.

“Ibu mangsa berjumpa kami untuk melantik kami sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa termasuk meminta kami berusaha membawa mangsa pulang ke Indonesia.

“Namun buat masa ini ia tidak boleh dilakukan kerana mangsa adalah saksi utama pihak pendakwaan, jadi kami maklumkan akan menulis kepada Kedutaan Indonesia untuk bertemu mangsa dan melihat perkara ini,” katanya.

Menurutnya, maklumat diperoleh adalah terdapat campur tangan politik atau ‘political pawn’ kemungkinan mangsa menjadi alat permainan politik pihak tertentu.

“Buat masa ini maklumat mengenai dakwaan (menjadi alat politik) adalah daripada ibu mangsa yang mengatakan kemungkinan mangsa dipergunakan.

“Saya sudah bercakap dengan wakil kedutaan Indonesia untuk kebenaran bertemu dan bercakap dengan mangsa dan jika dapat peluang, saya akan bertanyakan isu ini dan jika benar maka saya akan maklumkan pihak kedutaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Gabriel berkata, jika dakwaan atau isu berkenaan berasas pihaknya juga akan menasihatkan keluarga mangsa membuat laporan polis mengenainya.

Sementara itu, pihak Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia yang diwakili Sabda Tian ketika ditemui berkata, pihak kedutaan dan pemerintah Indonesia hanya mementingkan keadilan dan kebajikan mangsa sahaja, bukan isu lain yang berbangkit.

“Alhamdulillah mangsa sudah bertemu dengan ibunya minggu lalu dan kita juga sudah melantik peguam pemerhati bagi pihak kedutaan Indonesia, Selvi Sandrasegaram demi kepentingan mangsa,” katanya.

Mengulas mengenai perbicaraan ditetapkan selama lima hari bermula 11 November ini, Sabda Tian berkata, pihaknya berharap ia berjalan lancar dan memberi pembelaan terbaik kepada mangsa.

“Kami fokus dan beri perhatian serius dalam kes ini seperti mana kerajaan Malaysia juga beri perhatian serius dalam kes membabitkan mangsa rogol.

“Kes rogol bagi saya ia adalah jenayah serius bukan sahaja kerana mangsa adalah wanita tetapi pekerja asing dan peranan kerajaan Malaysia menjamin keselamatan pekerja asing di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:18 PM