Pihak berkuasa di Indonesia berusaha memadamkan kebakaran hutan di Sumatera. Foto AFP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PROSES untuk memindahkan penuntut Malaysia di Pekanbaru sudah dirancang sejak semalam selepas indeks pencemaran udara di kawasan itu melebihi 500.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Pekanbaru, Sofwan Nazir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai evakuasi itu pagi tadi dan segera memaklumkan kepada semua penuntut.

Menurutnya, kebanyakan mereka sudah bersedia sejak minggu lalu memandangkan bacaan indeks pencemaran udara di Pekanbaru sebelum ini melebihi tahap merbahaya.

“Begitupun, ada yang sudah kembali ke tanah air dan ada yang mengalami masalah berkaitan visa.

“Bagi yang mempunyai urusan berkaitan visa, mereka dipindahkan ke Jakarta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Sofwan, jika tiada aral, proses untuk memindahkan penuntut akan dilakukan paling awal petang ini namun ia bergantung keputusan kerajaan dan pihak berkuasa di sana.

“Saya mewakili penuntut Malaysia di Pekanbaru mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia khususnya Education Malaysia Indonesia dan Konsul Malaysia di Pekanbaru, Wan Nurshima Wan Jusoh kerana prihatin dengan situasi yang dihadapi.

“Semoga urusan pemindahan semua penuntut di Riau berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, 330 penuntut Malaysia di Acheh berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan jerebu yang mula melanda kawasan berkenaan.

Yang Dipertua PKPMI Cawangan Acheh, Muhammad Ehsan Shaari berkata, bacaan IPU di Acheh semalam 160 berbanding 0 sebelum ini.

Menurutnya, semua penuntut terbabit adalah mahasiswa di Universiti Islam Negeri Ar Raniry, Banda Acheh.

“Mereka dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar selain memakai topeng penutup hidung apabila berada di luar rumah atau bangunan universiti.

“Selain itu, mereka juga diminta memantau maklumat IPU terkini dan menghubungi PKPMI jika ada pertanyaan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:25 PM