FARID ketika prosiding bela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mencederakan orang awam dan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 11 Januari 2018. FOTO Sarah Zulkifli
Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari menafikan bahawa dia hanya mereka cerita ketika memberikan keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi selama tiga hari prosiding bela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Farid, 38, juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Abdul Salim bahawa dia sengaja tidak mengingati insiden anggota polis dan orang awam yang ditampar dan ditendangnya di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Januari tahun lalu.

Dalam keterangan di mahkamah sebelum ini, saksi pertama pendakwaan Ashraf Ahmad, 36, mendakwa ditampar selain ditendang di perut dan kemaluan oleh Farid manakala saksi kedua, Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 25, turut ditampar tertuduh sama.

Berdasarkan keterangan di mahkamah, Ashraf adalah lelaki yang menemui Farid dalam keadaan tidak berbaju di tepi jalan di Casa Tropicana, Petaling Jaya, sebelum dia membawa Farid ke balai polis trafik, manakala Mohd Nizam pula adalah anggota polis trafik yang sedang bertugas di Balai Polis Kota Damansara.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisyam, Farid juga tidak bersetuju dengan lebih 15 cadangan ketika sesi soal balas Fakrurrazi dalam kejadian pelakon itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Ashraf dan Mohd Nizam.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak selepas Konstabel Mohd Nizam berada di kaunter, Datuk kata ‘hang tau aku sapa’?

FARID : Tak setuju.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak kamu tanya Ashraf siapa Datuk dan bila dia jawab kenal, Datuk tampar pipi kiri mangsa?

FARID : Tak setuju.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak Mohd Nizam meredakan situasi dan Datuk tampar dia pula?

FARID : Tak setuju.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak disebabkan perkara itu, Mohd Nizam cuba menggari Datuk yang dalam meronta-ronta dan kemudian menjerit dengan kuat menyatakan ‘polis bodoh dan polis jahat’?

FARID : Tak setuju.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak Datuk tendang perut Ashraf ketika dia menenangkan Datuk di balai polis?

FARID : Tak setuju.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak Datuk tendang di kemaluan Ashraf?

FARID : Tak setuju.

FAKHRURRAZI : Setuju atau tidak perbuatan Datuk akan menyebabkan kesakitan Ashraf dan Mohd Nizam?

FARID : Tak setuju.

Terdahulu, suami pelakon Datin Diana Danielle itu memaklumkan mahkamah, sebelum ditahan, dia hanya menghisap separuh rokok balut diberikan oleh rakan artis yang baharu sahaja dikenalinya pada hari sebelumnya, 10 Januari tahun lalu.

“Pada malam itu juga, rakan pelakon memaksa saya secara lembut untuk aplikasi ‘Bigolive’ bersamanya yang mana saya ketika itu berasa sangat tidak selesa, pening yang tidak pernah rasa seumur hidup saya.

“Ketika itu, keadaan saya luar dari biasa dan hanya tersedar selepas azan (Subuh) berkumandang,” katanya yang terus pulang ke rumah dengan memandu sendiri kenderaannya ke Casa Tropicana sebelum mendapati isteri dan anak-anaknya tiada.

Farid berkata, dia kemudian ke rumah ibu mentuanya di bangunan sama, namun berkunci menyebabkan dia pergi ke bawah rumah dan melintas jalan untuk memohon bantuan sebelum terjumpa dengan Ashraf.

Prosiding bersambung 18 Oktober, 6 dan 8 November dengan pihak pembelaan memanggil tiga saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Pada 16 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf dan Mohd Nizam.

Farid juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalangnya melakukan tugas, manakala bagi pertuduhan keempat, pelakon itu turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 7:13 PM