Orang ramai mendapatkan air bersih yang dibekalkan lori tangki berikutan bekalan air terputus di Taman Angkasanuri, Durian Tunggal. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Rizanizam Abdul Hamid


PENDUDUK Melaka dinasihati terus mengamalkan penggunaan air bersih secara berhemah meskipun negeri itu diramal menerima taburan hujan sepanjang minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Khalid Nasir berkata, pengguna tidak sewajarnya melakukan pembaziran air bersih hanya disebabkan ramalan hujan walaupun terdapat peningkatan air di kawasan tadahan.

“Kemelut air yang melanda negeri ini sejak 10 September lalu boleh berakhir jika kita menerima hujan berterusan di kawasan tadahan Sungai Melaka yang berkeluasan 501 kilometer persegi.

“Jika tidak dan diburukkan lagi dengan penggunaan air membazir, keadaan ini akan terus menjadi tidak stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar ini hari ini melaporkan Mohd Khalid berkata, kemelut air yang melanda negeri itu sejak dua minggu lalu dijangka berakhir minggu ini jika menerima hujan berterusan dan selepas dua loji rawatan air (LRA) yang terjejas sebelum ini beroperasi dengan kapasiti penuh semalam.

Dua LRA berkenaan, LRA Bertam (LAD1 dan LAD2) dan LRA Sebukur masing-masing membekalkan air terawat kepada 220,401 dan 31,621 pemegang akaun SAMB di daerah Melaka Tengah iaitu mereka yang paling ramai terjejas akibat kekurangan bekalan air sejak 10 September lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hujan berterusan di kawasan tadahan dapat memastikan peningkatan paras air di Sungai Melaka yang menyumbang 60 peratus kepada keperluan air penduduk negeri itu.

“Bila paras air di Sungai Melaka meningkat, barulah loji rawatan air (LRA) yang bergantung kepadanya dapat beroperasi sepenuhnya sekali gus dapat membekalkan air secukupnya kepada pengguna.

“Ramalan Meteorologi Melaka akan berlakunya hujan malam ini di satu dan dua tempat di kawasan pedalaman selain hujan sepanjang minggu ini juga diharap membantu meningkatkan paras air Sungai Melaka dan empangan di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 2:17 PM