Dr Wan Azizah (dua dari kiri) merasmikan sambutan ke-125 Veterinar Malaysia. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN akan memperkenalkan Skim Rezeki Ternak kepada pengusaha ternakan daging terpilih bermula tahun depan dalam usaha merancakkan industri ternakan ruminan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub berkata, buat permulaan skim itu disasarkan kepada 1,000 peserta baharu yang dipilih daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menurutnya, skim itu dijangka dilaksanakan tahun depan bergantung kepada kelulusan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Oktober ini.

“Usaha ini juga bagi mencapai kadar sara diri (SSL) ternakan ruminan yang mana pengeluaran industri daging kita hanya sekitar 23 peratus ketika ini.

“Kita sasarkan ia boleh mencapai sehingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan 125 Tahun Perkhidmatan Veterinar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Freeport A’Famosa, Alor Gajah hari ini.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, Skim Rezeki Ternak adalah hasil penjenamaan semula daripada sistem lembu pawah yang terbukti berkesan mengurangkan kebergantungan kepada daging import.

“Di bawah skim ini, setiap peserta dipilih diberi modul latihan pengurusan, lima ekor lembu atau 10 ekor kambing.

“Ini juga penting untuk kita buktikan Jabatan Veterinar mampu mengurangkan kebergantungan terhadap 77 peratus daging import ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 4:47 PM