SUSPEK berjaya ditahan jemaah masjid sebelum diserahkan kepada polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TERNYATA nasib tidak menyebelahi seorang lelaki apabila dicekup jemaah Masjid al-Muqarrabin di Kampung Behor Empiang, Kangar, ketika sedang leka mencungkil tabung masjid, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, suspek diberkas seorang ahli jemaah masjid jam 10.55 malam selepas jemaah menyedari suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek berusia 24 tahun dikatakan mencungkil tabung yang berada di luar masjid menggunakan buluh direka khas untuk mengeluarkan duit.

“Dia sempat mengeluarkan RM72 dan tidak sedar kegiatannya diperhatikan ahli jemaah sebelum ditangkap lalu diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Wari berkata, sehubungan itu, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Polis merampas buluh digunakan untuk mencuri wang tunai dan motosikal digunakan suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada 14 April 2016, Harian Metro pernah melaporkan seorang lelaki sanggup memotong mangga kunci pintu jeriji menggunakan mesin pemotong besi sehingga menghasilkan percikan api semata-mata untuk melarikan duit kutipan harian masjid berjumlah RM200.

Namun, aksi jenayahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di beberapa bahagian dalam masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:03 PM