AR Badul bersama jemputan yang hadir ketika mengadakan majlis tahlil untuk anaknya, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya di Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Nur Lela Zulkipli


SENIMAN AR Badul mahu satu inkues dijalankan terhadap kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya bagi mengetahui punca sebenar kematian pegawai komando itu.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 70, menyifatkan penjelasan diberikan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung siasatan kematian anaknya terlalu ringkas dan tidak menyeluruh.

“Saya bapa Mohd Zahir. Sudah pasti saya mahukan penjelasan yang lebih terperinci dan bukannya daripada media massa.

“Pihak berkuasa ada nombor telefon saya dan mereka boleh hubungi saya untuk menerangkan apa yang menyebabkan anak saya maut, namun tiada seorang pun yang berbuat demikian...saya sangat hampa.

“Kalau boleh saya mahukan inkues, sama seperti yang dijalankan terhadap kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Saya mahu mengetahui punca sebenar dan kronologi bagaimana anak saya boleh maut dan apakah usaha menyelamatkannya selepas arwah ditembak,” katanya.

Dia berkata demikian selepas majlis tahlil untuk arwah anaknya di Seksyen 28, Shah Alam, hari ini.

Katanya, tiada penjelasan daripada pihak berkuasa sama ada baju kalis peluru itu mengikut spesifikasi ditetapkan atau sebaliknya.

“Ramai hubungi saya untuk memperjuangkan nasib arwah anak, namun saya tidak mahu mengeruhkan keadaan memadai dengan penjelasan terperinci mengenai kejadian itu.

“Bukan saya dan keluarga saja yang mahukan penjelasan, tetapi rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini. Mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Terdahulu, TDM dalam satu kenyataan, hari ini, mengklasifikasikan insiden kematian pegawai komando terkena tembakan dalam aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, 4 September lalu, sebagai kejadian terpencil dan kemalangan dalam latihan.

TDM juga mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) mengikut keperluan selain latihan memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan terhadap peralatan dan kelengkapan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:02 PM