PERODUA Myvi yang dirakam memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Lebuhraya MEX. FOTO IHSAN PEMBACA
PERODUA Myvi yang dirakam memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Lebuhraya MEX. FOTO IHSAN PEMBACA
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS meminta orang ramai yang mengetahui nombor pendaftaran kereta Perodua Myvi putih tampil membantu siasatan selepas tular di media sosial kenderaan berkenaan dikesan memandu melawan arus, hari ini.

Dalam kejadian 2.57 petang, kereta itu dirakam memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) berhampiran Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya memerlukan bantuan orang ramai yang mengetahui kejadian itu untuk memberi nombor pendaftaran kenderaan berkenaan supaya tindakan dapat diambil.

Menurutnya, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kami hanya menerima maklumat tular dan tiada maklumat tepat mengenai nombor pendaftaran kenderaan menyebabkan tindakan sukar diambil,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial hari ini video dirakam melalui ‘dashcam’ menunjukkan kereta itu memandu melawan arus menyebabkan pemandu kereta yang merakam aksi itu terpaksa mengelak daripada bertembung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:14 PM