Syazlin antara peguam yang mewakili keluarga arwah Muhammad Adib keluar dari mahkamah selepas keputusan berhubung kematian arwah diumumkan. FOTO Syarafiq Abd Samad
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan


“INI bukan penamat tetapi permulaan mencari keadilan untuk arwah Muhammad Adib”.

Demikian komen wakil peguam keluarga arwah Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab sebaik Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian arwah akibat jenayah.

Kamaruzaman bersama barisan peguam lain iaitu Yahaya Othman, Ahmad Taufiq Baharum dan Syazlin Mansor mewakili keluarga Muhammad Adib sepanjang 41 hari prosiding inkues berlangsung.

Kamaruzaman berkata, keputusan hari ini membuktikan arwah dipukul hingga menyebabkan kematiannya oleh sekumpulan individu.

“Kami daripada pasukan keluarga meminta polis dan Peguam Negara bertindak untuk menangkap penjenayah terbabit dan mendakwa di mahkamah sebagaimana disaran Mahkamah Koroner.

“Kami mahu mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua saksi yang hadir membantu dan menjayakan inkues ini.

“Inkues ini bukan penamat tetapi permulaan selepas hari ini mahkamah memutuskan arwah mati kerana dipukul seterusnya berharap ada tindakan daripada polis dan Peguam Negara,” katanya.

Ditanya adakah kebanyakan saksi yang dipanggil terdiri daripada salah seorang suspek, Kamaruzaman tidak pasti dengan perkara itu.

“Saya tidak pasti, tiada dalam keterangan ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Syazlin ketika ditemui berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan inkues kematian anggota bomba itu.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Prof Dr Shahrom Abd Wahid (Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom) dan Dr Amir Radzi Ab Ghani (Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM).

“Kedua-dua saksi ini sanggup memberikan keterangan yang benar di mahkamah dan secara pro-bono,” katanya.

Syazlin turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan dan mendoakan keadilan terhadap kes kematian Muhammad Adib.

“Terima kasih kerana mendoakan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 3:51 PM