Nurul Fatihah Sulaini


“PADA awalnya saya tak syak niat sebenarnya, tetapi disebabkan dia terlalu mendesak saya rasa lain macam,” kata Bendahari Surau Al-Ikhlas Kampung Seri Medang, Jertih, Azimi Mohamed.

Surau Al-Ikhlas Kampung Seri Medang nyaris menjadi mangsa sindiket penipuan atau ‘scammer’ selepas seorang individu mendakwa kononnya tersilap memasukkan jumlah sumbangan ke akaun bank surau berkenaan dan mahu menuntutnya semula.

Azimi berkata, jawatankuasa surau menyebarkan mesej menerusi WhatsApp dan laman sosial sejak seminggu lalu untuk mengutip sumbangan bagi membina surau baharu, menggantikan surau sedia ada yang semakin uzur.

Beliau berkata, pada awalnya dia menerima mesej di WhatsApp daripada seseorang yang memaklumkan mahu menyumbang derma kepada tabung pembinaan surau berkenaan, kira-kira 4 petang semalam.

“Pada awalnya individu itu memaklumkan kononnya syarikat mereka mahu menyumbangkan derma RM500, tetapi beberapa jam kemudian dia menghubungi semula dan memaklumkan kononnya pekerjanya tersilap memasukkan wang RM1,200.

“Dia mendakwa kononnya wang itu diperlukan untuk kegunaan lain dan dia pula berada di Jakarta, Indonesia.

“Individu itu meminta saya memulangkan duit itu dalam kadar segera walaupun saya minta tempoh sehingga Ahad ini untuk memeriksa akaun semasa surau dan tranksaksi pada Ahad ini,” katanya.

Azimi berkata, disebabkan individu itu terlalu mendesak dia mengesyaki sesuatu lalu meminta seorang rakan sekampung yang bekerja di Kuala Lumpur membuat pemeriksaan nombor telefon berkenaan.

“Rakan saya kemudian memaklumkan syarikat itu adalah ‘scammer’ dan menggunakan modus operandi sama untuk memperdayakan orang lain.

“Nombor telefon yang digunakan sindiket itu tular di Facebook kerana dimuatnaik orang ramai yang pernah hampir menjadi mangsa penipuan mereka.

“Atas rasa tanggungjawab, rakan saya itu kemudian membuat laporan polis di Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:19 PM