SEMBILAN rumah lagi yang dibina atas tanah rizab sungai di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh,
akan dirobohkan 10 Oktober depan
Ia bagi membolehkan permulaan kerja pembesaran Sungai Kedondong dilaksanakan.
Operasi perobohan secara bersepadu itu adalah sebahagian Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong iaitu projek infrastruktur bernilai RM5.93 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, operasi perobohan membabitkan baki sembilan rumah di Plot C dan D.
“Pada 18 September lalu, perobohan sembilan struktur atau rumah ini ditangguhkan sebab penghuninya mempunyai anak yang menduduki peperiksaan.
“Kerajaan negeri sudah meminta Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk turun padang memberi pertolongan kepada keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan projek berkenaan.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling pada Rabu minggu lalu merobohkan 36 rumah daripada sejumlah 92 rumah yang dibina atas tanah rizab sungai.
Ia bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.
Dilaporkan, banjir kilat kerap berlaku di Paya Jaras Hilir, malah Paya Jaras Hulu, Paya Jaras Tengah, Paya Jaras Dalam serta sebahagian Merbau Sempak dan Kubu Gajah.
Projek tebatan banjir itu bermula 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017, namun mengalami kelewatan serius disebabkan adanya struktur yang menceroboh tanah kerajaan.
Laporan media sebelum ini dipetik sebagai berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri sudah dua kali dipanggil dan ditegur Jabatan Audit Negara berhubung kelewatan menyiapkan projek itu.
Berita berkaitan
• 'Tolonglah...saya sudah terdesak'
• LZS kenal pasti 9 keluarga miskin
• Jangan politikkan isu Paya Jaras Hilir